16.4.2017: Stesen Radio dan Televisyen RTM Sumber Maklumat Sahih

Masyarakat setempat diajak menjadikan stesen radio dan televisyen RTM sebagai sumber maklumat sahih berhubung dengan setiap aktiviti yang dilaksanakan oleh kerajaan.

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Elopura, Datuk Au Kam Wah berkata, ini kerana RTM merupakan badan penyiar rasmi kerajaan yang menyampaikan dasar-dasar kerajaan serta kejayaan kerajaan dalam pembangunan negara.

Menurutnya, sungguhpun masyarakat setempat boleh mendapatkan maklumat menerusi sumber media sosial namun masyarakat diingatkan tidak terpedaya dengan berita tidak sahih yang disebarkan.

Beliau berucap demikian pada Program Konsert Mini Sehati di RTM Radio Sandakanfm di Pasar Malam Kim Fung, Sandakan. Konsert diadakan Sempena Ulang Tahun RTM ke-71.

Sementara itu, bercakap mengenai Pasar Malam Kim Fung, beliau berkata, ia diwujudkan bagi memeriahkan malam minggu di bandar berkenaan selain membantu meningkatkan ekonomi penduduk setempat.

Jelasnya, ia juga bertujuan bagi meningkatkan perpaduan sedia ada kalangan peniaga dan pengunjung terdiri pelbagai kaum di Sandakan.

Pada majlis menyaksikan, beliau menyampaikan sumbangan kepada beberapa kanak-kanak bertuah yang mengunjungi pasar malam berkenaan.

Pengunjung yang hadir juga dihiburkan dengan persembahan Flash-Mob dan persembahan nyanyian daripada residen artis RTM Sandakan yang pernah menjuarai pertandingan Bintang Sandakanfm.

Oleh: Iswadiman Shamsuddin

16.4.2017: Syarikat Hartanah Bumiputera Perlu Jaga Kualiti Pembinaan

Syarikat hartanah bumiputera di negeri ini diingatkan tidak mementingkan keuntungan semata-mata, tetapi perlu menjaga kualiti pembinaan demi kepuasan pelanggan.

Pada masa sama, syarikat berkenaan juga perlu melipat gandakan usaha untuk muncul sebagai syarikat pembinaan yang mampu bersaing dengan syarikat pembinaan gergasi lain di negeri ini.

Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Haji Zakaria Mohd. Edris berkata, ke arah itu syaikat perlu mempunyai kemahiran pengurusan projek, penguasaan teknologi yang tinggi selain mengekalkan reputasi syarikat agar terus mendapat kepercayaan pelanggan.

Katanya, kerajaan sedia membantu syarikat milik bumiputera  daripada pelbagai aspek dan berharap syarikat terlibat akan turut sama melonjakkan prestasi demi kelangsungan ekonomi negeri khususnya dalam bidang hartanah.

Beliau berucap demikian merasmikan Pejabat Borneo Property Management Corporation (BPMC) Cawangan Sandakan di Bandar Prima, Sandakan.

Datuk Haji Zakaria yang juga ADUN Gum-Gum berkata, pembukaan pejabat syarikat berkenaan di Sandakan akan lebih memudahkan masyarakat di daerah ini memiliki rumah yang dibina di atas tanah milik persendirian.

BPMC yang ditubuhkan tahun lalu menyediakan peluang kepada masyarakat untuk memiliki rumah milik sendiri secara mampu milik dengan harga yang berpatutan dan berkualiti.

Sehingga kini syarikat berkenaan berjaya membina  tiga buah rumah pelanggan mereka iaitu masing-masing di kampung Indai Tuaran, Kampung Lembising, Putatan dan di  Kampung Mesapol, Sipitang.

Oleh: Iswadiman Shamsuddin

 

 

 

24/3/2017 : Jangan Jual Minyak Masak Paket 1-Kg Secara Pukal

Pengusaha pasaraya dan peniaga kedai runcit diingatkan tidak mengambil keuntungan mudah dengan menjual minyak masak peket 1-kilogram secara pukal kepada penjaja atau pengguna.

Menteri Pembangunan Masyarakat Dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Jainab Ahmad Ayid berkata, perkara itu bagi memastikan bekalan minyak sentiasa mencukupi kepada pengguna yang ingin mendapatkan bekalan minyak masak di pasaran.

Beliau turut mengingatkan pengguna supaya tidak melakukan pembelian panik minyak masak peket bagi mengelak kekurangan bekalan di pasaran.

Datuk Jainab berkata demikian ketika ditemui media pada program Penjualan Minyak Peket Satu Kilogram ke kawasan PPR Taman Mesra, PPR Taman Harmoni dan PPR Taman Muhibbah di Sandakan.

Datuk Jainab berkata, pelaksanaan program penjualan minyak peket satu kilogram ke kawasan perumahan itu akan dilaksanakan dua kali seminggu secara berterusan dengan had pembelian maksimum 5 kilogram bagi setiap seorang.

Dalam perkembangan lain, beliau difahamkan terdapat Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang di hantar pulang membawa keluar minyak masak peket berkenaan ke negara masing-masing. Namun katanya, Majlis Keselamatan Negara (MKN) tidak boleh merampas atau mengambil tindakan berikutan ia berada di luar bidang tugas mereka.

Katanya, membawa keluar minyak ke negara luar oleh PATI juga dikenalpasti sebagai antara salah satu punca kekurangan bekalan minyak di pasaran di negeri ini.

Oleh : Iswadiman Samsuddin

24/3/2017 : Pembinaan Kiosk Di Anjung Muara Beluran Bantu Usahawan Kecil Untuk Maju

Pembinaan kiosk dan kedai di Anjung Muara Beluran dengan reka bentuk moden diatas tanah seluas satu ekar mampu membantu usahawan kecil memajukan perniagaan serta mengubah landskap daerah itu selain akan menjadi tarikan pelancong.

Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Sugut yang juga Pengerusi Sedcovest Holdings Sendirian Berhad, Datuk James Ratib berkata, pembinaan kiosk dan kedai itu sebagai tanda kerajaan berusaha membangunkan kawasan luar bandar terutama memperkasa golongan usahawan bumiputera.

Katanya, untuk Sandakan Sedcovest juga memperuntukkan 20-juta ringgit bagi membantu usahawan bumiputera, latihan dan pelaksanaan program berkenaan.

Manakala di Sabah, sebanyak 102 juta ringgit diperuntukkan bagi membina dan menyediakan premis untuk usahawan kecil memajukan perniagaan.

Beliau berucap demikian pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat sempena lawatan kerja Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman ke Beluran.

Menurut Datuk James, sejak ditubuhkan, Sedcovest telah berjaya melatih kira-kira 10 ribu peserta yang menyertai latihan dan kursus usahawan selain kira-kira 5 ribu pelajar sekolah menengah juga mendapat manfaat pengetahuan berkenaan keusahawanan.

Manakala Pusat Inkubator di Kota Kinabalu milik Sedcovest pula menawarkan khidmat nasihat berkenaan dan kemudahan yang lain.

Oleh : Iswadiman Samsuddin

24/3/2017 : Pembangunan Di Setiap Daerah Diambil Perhatian Kerajaan

Kerajaan negeri mengambil berat isu pembangunan di setiap daerah di negeri ini selain berusha menyelesaikan isu terbabit satu persatu.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Musa Aman berkata, banyak lagi yang perlu disediakan merangkumi kemudahan asas dan infrastruktur, selain pembangunan dalam aspek ekonomi, sosial dan pendidikan.

Beliau turut berpuas hati terhadap lawatan yang dilaksanakan ke seluruh daerah di negeri ini kerana selain mendengar masalah dihadapi rakyat, perjumpaan itu membolehkan kerajaan mengetahui bentuk pembangunan yang diperlukan rakyat selain perkembangan di setiap daerah.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Pemimpin Bersama Rakyat di Anjung Muara, di Beluran.

Terdahulu Datuk Musa merasmikan bangunan Urusetia Pejabat Daerah Beluran dan mendengar taklimat pembangunan Beluran serta Telupid yang disampaikan oleh Pegawai Daerah Beluran, Suhaili Riman dan Pegawai Daerah Telupid, Benedict Asmat.

Datuk Musa turut merasmikan bangunan komsersial Sedcovest Holdings Sendirian Berhad dan bangunan Sabah Urban Development Corporation (SUDC) Holdings Sendirian Berhad.

Pada majlis berkenaan menyaksikan Angkatan Tentera Malaysia bersama Jabatan Kesihatan Daerah Beluran mengadakan Program Jiwa Murni pemeriksaan kesihatan menyasarkan masyarakat setempat.

Lebih 2-ribu penduduk Beluran hadir pada Majlis itu.

Oleh : Iswadiman Samsuddin

23/3/2017 : 8-Peserta Bakal Berentap Pada Pertandingan Akhir Bintang Remaja Peringkat Negeri Sabah 2017

Lapan peserta akhir bakal berentap pada pertandingan Bintang Remaja Peringkat Negeri Sabah 2017 yang bakal berlangsung Sabtu ini (25 Mac 2017) di Padang Bandaran Sandakan.

Pertandingan anjuran Seksyen Hiburan dan Muzik, RTM Sabah itu akan berlangsung pada pukul 8-malam.

Lapan perserta berkenaan antaranya Syarweena Yajit mewakili Sandakan, Nurul Atiqa Azis (Kota Marudu), Sylvilina Bily (Tambunan), Eylia Eyre Guntabid dan Joel Sonny Saimin mewakili Kota Kinabalu, Mohammad Adyan Danial Jiram (Labuan), Mohammad Firman Sharif (Pitas) dan Mohammad Farid Abdul Rashad Mewakili daerah Tawau.

Penerbitnya Tina Rahim berkata, kesemua peserta itu terpilih selepas menjuarai saringan yang diadakan diseluruh negeri.

Katanya, pertandingan yang  telah memasuki tahun ke 11 sejak penubuhannya pada tahun 2007 itu bermatlamat  untuk mencungkil bakat baru dalam kalangan remaja di seluruh Sabah dalam bidang nyanyian dan persembahan pentas.

Pertandingan itu akan diiringi sepenuhnya Kombo RTM yang diketuai Raimond Sukudat dan bakal diadili juri professional.

Penonton juga bakal dihiburkan mantan Juara Bintang Remaja Tahun 2013, Zuana Zulmat dan Rahmat Mohammad, mantan finalis Mencari Bintang Sabah FM 2014.

Orang ramai sekitar Sandakan dijemput memeriahkan pertandingan tersebut atau juga boleh mengikuti pertandingan itu secara langsung menerusi Sabah FM dan live streaming di http:://sabahfm.rtm.gov.my.

oleh : Amran Rajih

23/3/2017 : Ketua Kampung dan JKKK Berperanan Penting Benteras Penularan Penagihan Najis Dadah

Ketua Kampung dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) perlu memainkan peranan untuk memantau seterusnya membenteras penularan najis dadah dalam kalangan masyarakat.

Pembantu Menteri Kewangan, Datuk Seri Panglima Michael Asang berkata, isu dan masalah dadah ketika ini amat membimbangkan kerana ia bukan sahaja berlaku di bandar atau pekan malah menular dikawasan kampung.

Katanya, kepimpinan Ketua Kampung dan Pengerusi JKKK wajar melihat masalah tersebut sebagai wabak yang harus dibenteras.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Watikah Perlantikan Pengerusi JKKK dan Penyerahan Baju Seragam Ketua-ketua adat bagi kawasan Labuk di Dewan Koperasi Matanggar di Beluran.

Datuk Micheal berkata, kerjasama semua pihak dalam memerangi gejalah dadah juga penting agar tidak menular dikawasan masing-masing.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Labuk turut mengesa pemimpin peringkat kampung itu agar terus bersatu, bergotong royong dan berkerjasama memajukan kampung selain terus memantapkan perpaduan sedia ada.

Selain itu Datuk Macheal menyeru agar mereka sering berjumpa dengan pegawai berkaitan di Pejabat Daerah bagi melaporkan atau mengemukakan apa juga permohonan selain mendapatkan maklumat jelas dan tepat mengenai dasar atau program pembangunan untuk rakyat di kawasan mereka.

Oleh : Amran Rajih